SEJARAH SEKOLAH

Sejarah Sekolah

Sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 1936, pada mulanya sekolah ini didirikan di sebidang tanah ladang getah di selatan pekan Rantau Panjang, dengan berdinding  papan dan  berbumbung atap  asli, kemudahan pada masa itu amat kekurangan.  Sungguhpun  sekolah  ini  dinamakan SJK ( C ) Chi Sheng 2, tetapi segala pentadbiran adalah bersendirian, tidak ada berkaitan dengan sekolah SJK ( C ) Chi Sheng 1, Selama, Perak.
Pada masa itu, bilangan murid adalah lebih kurang 40 orang sahaja. Kemudian murid semakin bertambah. Oleh itu, Lembaga Pengurus bercadang untuk mendirikan sebuah bangunan baru. Kerja pembangunan dipimpin oleh Encik Ng Cik Pak, Encik Lee Chee Seng, Encik Wong Ah Mook serta anggota-anggota lain. Selain itu, kerja pembangunan juga mendapat kerjasama pemimpin masyarakat Selama, Encik Wong Yong Hew J.P. MBE, dengan memohon kepada Kerajaan Negeri Perak untuk mendapat tapak sekolah, iaitu tempat sekarang dengan keluasan 1a. Or. 23.6p. Bagi menampung wang pembangunan, Lembaga Pengurus meminta derma daripada orang ramai untuk mendirikan sekolah baru dengan secepat mungkin.   
            Kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1939, disiapkan pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1940. Bangunan ini ialah bangunan separuh kekal (semi permenant) dan mempunyai tiga buah bilik darjah, dua buah bilik guru, sebuah dapur dan sebuah tandas.
           Pada tahun 1941, bangunan baru ini telah dirasmikan dan mula digunakan. Pada masa itu, bilangan guru hanya dua orang manakala bilangan murid adalah lebih kurang 100 orang. Dua kelas cantuman dijalankan, iaitu dari darjah satu hingga darjah empat, bilik tengah dijadikan pejabat. Pada akhir tahun 1941, peperangan  dunia  kedua telah  meletus, operasi  sekolah  ini  terpaksa dihentikan.
            Pada  tahun  1947,   ahli-ahli   Lembaga   Pengurus  yang  lama   bermesyuarat semula untuk memulakan sekolah ini dan Encik Lim Boon Lan dilantik sebagai Guru Besar pada masa itu, peraturan darjah adalah kekal seperti dahulu, bagi murid yang  mampu  menghabiskan  empat tahun  pelajaran di SJK (C) Chi Sheng 2, Rantau Panjang, terpaksa  melanjutkan pelajaran  ke sekolah SJK (C) Chi Sheng 1, Selama bagi meneruskan darjah lima.
            Pada tahun 1949, Encik  Lim Boon Lan  meletak jawatan dan Encik Lim Yoke Wah dilantik menjadi Guru Besar. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah memohon mendirikan dua buah bilik darjah dan merancang membina sebuah gelanggang badminton di depan bilik guru. Ini disebabkan bilangan murid semakin bertambah, begitu juga dengan penambahan guru dari tiga ke empat orang. Pada akhir tahun 1958, Encik Lim Yoke Wah mengundur diri dan jawatannya dipegang oleh Encik Lee Fatt Thiam.
Semasa  Encik  Lee  Fatt  Thiam  memegang  jawatan Guru Besar, beliau telah  memohon kepada Lembaga Pengurus sekolah untuk memasang elektrik dan paip air, seterusnya memohon bantuan daripada kerajaan untuk membina gelanggang bola keranjang serta pentas sekolah. Dengan ini, murid-murid dapat belajar dalam suasana sekolah yang mempunyai kemudahan asas. Pada tahun 1966, disebabkan murid-murid yang miskin tidak dapat melanjutkan pelajaran di Selama, maka sekolah ini telah mengadakan kelas darjah lima, seterusnya darjah enam sehingga menjadi sebuah sekolah yang lengkap. Pada masa itu, bilangan murid telah bertambah melebihi seratus orang, guru pula bertambah menjadi lima orang. Pada tahun 1969, sebilangan ibubapa mula berpindah ke bandar dan ini telah mengakibatkan kekurangan murid berlaku setiap tahun. Walau bagaimanapun, sekolah ini telah mendapat sokongan daripada orang-orang Melayu dan India untuk mendaftarkan anak-anak mereka belajar di sekolah ini dan Lembaga Pengurus berperanan membantu kemudahan kepada mereka sehingga bilangan pelajar bertambah sehingga 20 peratus.
           Pada tahun 1976, pihak sekolah telah memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk memperbaiki bangunan sekolah serta memagar sekolah. Pada  tahun 1979, pihak sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak RM10,000.00 daripada Kerajaan Negeri Perak untuk menukar bumbung sekolah dan memperbaiki bangunan sekolah, tetapi tidak mencukupi untuk memagar kawasan sekolah, dengan itu projek memagar sekolah ditangguhkan.
Pada bulan Ogos 1980, pihak sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak RM8,000.00 daripada Kementerian Pembangunan dan Perumahan yang diluluskan oleh Datuk Micheal Chen untuk mendirikan sebuah bilik perpustakaan yang kini menjadi pejabat sekolah. Pada tahun 1982, pihak sekolah mendapat peruntukan sebanyak RM8,000.00 daripada Kementerian Pendidikan untuk memperbaiki tandas. Pada tahun yang sama juga, sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak RM3,000.00 daripada ADUN Selama untuk memperbaiki bangunan sekolah serta menukar wayar elektrik keseluruhan dan memasang kipas angin.       
Pada tahun 1989, Guru Besar Lee Fatt Thiam telah bersara dan jawatan Guru Besar telah disandang oleh Puan Chen Choon Mey. Dalam perkhidmatan Guru Besar Chen Choon Mey, beliau telah memohon beberapa peruntukan, termasuklah mengecat semula bangunan sekolah walaupun tidak keseluruhan. Pada 16.12.1993, Puan Chen Choon Mey telah ditukarkan ke SJK (C) Hua Lian 2, Taiping, Perak dan jawatan Guru Besar telah disandang oleh Encik Lee Hin Beng. Guru Besar Lee Hin Beng mula bertugas pada 16 Disember 1993. Pada tahun 2005, beliau telah membuat permohonan kepada Dato’ Hon Choon Kim untuk membaiki struktur bangunan sekolah. Beliau menamatkan perkhidmatannya dengan bersara wajib pada 27 Mei 2008  dengan  umur  lima  puluh  enam tahun. Selepas  itu, tiada  Guru Besar  dilantik untuk menggantikan tempat Encik Lee Hin Beng,  jadi Puan Khoo Lee Hwa, guru kanan SJK (C) Chi Sheng 2 dilantik sebagai pemangku Guru Besar sehingga Guru Besar baru Puan Lim Geik Hiang datang pada 16 Disember 2008.         
Dalam perkhidmatan Puan Lim Geik Hiang, beliau telah memohon kepada Lembaga Pengurus dan PIBG untuk membuat pengubahsuaian kelas dengan menambah dinding papan pada dua buah kelas bercantum, sehingga menjadi empat kelas berasingan, iaitu darjah satu, darjah dua, darjah tiga dan darjah empat. Pada tahun berikutnya, pihak Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chi Sheng 2 telah mengemukakan surat permohonan bantuan peruntukan untuk membina semula pagar sekolah yang rosak pada 9 Januari 2009 kepada Y.B Datuk Ir. Wee Ka Siong Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Pada tarikh  9 Februari 2009, pihak Lembaga Pengelola Sekolah telah menerima peruntukan bantuan kewangan kepada SJKC di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negara 2009 Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertarikh 2 Februari 2009, dengan bantuan bernilai RM30,000.00. Peruntukan kewangan telah digunakan untuk projek membina semula pagar sekolah yang rosak dan penyelenggaraan bangunan stor peralatan yang sudah retak. Projek ini telah berjalan dengan lancar.
Seterusnya, Puan Lim Geik Hiang memohon kepada Unit Pembangunan dan Bekalan, Pejabat Pelajaran Daerah untuk membaik pulih bangunan sekolah dan menambah bina bangunan pejabat sekolah, tetapi tidak berjaya. Pada tahun 2010, Puan Lim Geik Hiang telah membuat permohonan membina jalan tar dan  mendapat peruntukan  daripada  Yang Berhormat Dato  Haji  Mohamad  Daud  untuk  membuat pembinaan jalan tar di kawasan sekolah dan pada tahun yang sama Lembaga Pengurus Chi Sheng 2 telah memohon sumbangan komputer dan mesin pencetak (printer) daripada Yang Berhormat Dato’ Hamzah. Yang Berhormat Dato’ Hamzah telah memberi sebuah ‘netbook’ dan dua buah printer kepada sekolah pada tahun 2011.  Pada tahun 2012, pihak sekolah telah memohon 2 buah mesin pencetak daripada Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Larut Dato’Hamzah dan sekolah telah berjaya mendapat sumbangan. Selain itu, pada tarikh 24 September 2012, pihak Lembaga Pengelola Sekolah telah menerima peruntukan bantuan kewangan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia sebanyak RM30,000.00. Peruntukan sebanyak RM30,000.00 ini telah digunakan untuk membina sebuah pondok pengawal, memperluas pejabat guru dan membaiki tandas sekolah. Sekolah juga mendapat sebanyak RM20 000 dari Peruntukan Pakej Ransangan Khas 2014 bagi Sekolah Bantuan Kerajaan SJKC. Peruntukan ini diguna untuk baik pulih pembangunan sekolah.Selain itu, pada tahun Pada akhir tahun 2015 sekolah telah menerima Peruntukan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan di bawah Belanja Mengurus (OE) Tahun 2015 sebanyak RM20 000. Peruntukan ini diguna untuk membuat penyelenggaraan, naik taraf atau ubah suai, pendawaian elektrik dan pembasmian anai-anai.  Pada Mei 2017, Puan Lim Geik Hiang telah bertukar sekolah ke SJK (C) Sungai Terap sebagai Guru Besar dan tamat perkhidmatan beliau selama 9 tahun di SJK (C) Chi Sheng 2. Seterusnya, Puan Lee Lim Cheng mula perkhidmatan beliau selaku Guru Besar di SJK (C) Chi Sheng 2 sehingga kini. 

No comments:

Post a Comment